Rabu, 1 Jun 2011

Melayu Mudah Lupa!


MELAYU MUDAH LUPA
nukilan Tun Dr Mahathir Mohammad


Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai..

Setiap hari apabila melihat komen-komen di Facebook, Twitter ataupun blog pasti akan membuatkan aku menggeleng kepala. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan kecewa dan kekesalan yang teramat sangat. Ternyata ramai sahabat-sahabat pada hari ini lebih bersikap negatif terhadap kerajaan, lebih khusus lagi terhadap parti pembela Melayu; UMNO. Jasa bakti UMNO dalam pembangunan masyarakat Melayu seperti terus 100% dinafikan oleh segelintir masyarakat Melayu. Pengorbanan pemimpin-pemimpin UMNO terus diperlekehkan oleh saudara bangsaku; MELAYU!

Tidak wujud sebuah parti atau kerajaan yang sempurna; sebuah kerajaan yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Apa yang lebih penting ialah kita cepat sedar dan cepat membetulkan kesilapan yang berlaku. Tidak dapat dinafikan rambut sama hitam, hati lain-lain. Kita semua mempunyai hak untuk menyokong parti mana yang kita suka. Namun demikian, kritikan-kritikan yang diberi adalah lebih kepada satu penghinaan. Ini menggambarkan gaya pemikiran sesetengah orang Melayu yang begitu ekstrem dan sempit pemikirannya, yang lebih mementingkan perjuangan peribadi pemimpin dan bukannya perjuangan bangsa keseluruhannya.

Gambaran yang diberi, seolah-olah tiada langsung kebaikan yang dibawa oleh UMNO. Dengan izin Allah S.W.T. berkat perjuangan parti ini, maka lahirlah sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. 54 tahun Malaysia dibentuk dengan acuan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Tidak cukupkah bukti yang jelas terpampang di hadapan mata? Manakan cukup kerana MELAYU MUDAH LUPA!

Maka betullah apa yang disebut oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, MELAYU MUDAH LUPA! Secara peribadi apabila berhadapan dengan penghinaan dan ejekan pihak pembangkang, timbul rasa seribu kekesalan malahan membakar api kemarahan yang membuak-buak. Walaupun mempunyai hujah untuk mematahkan serangan, tetapi rasanya malas hendak membuang masa melayan keranah-kerenah MELAYU-MELAYU YANG SUDAH LUPA! Inilah Dilema Melayu di alaf baru yang amat membimbangkan kita semua.

Bagi penulis, lebih baik kita perbaiki kelemahan yang ada di dalam UMNO, kita perkasakan kekuatan perpaduan UMNO; yang terbukti dalam sejarah mampu mengalahkan musuh perjuangan bangsa MELAYU! Perjuangan pasti diteruskan... ini bukan perjuangan kepentingan peribadi... UMNO adalah perjuangan DAHULU, KINI dan SELAMANYA! Demi membela sebuah bangsa yang bermaruah! MELAYU TAKKAN HILANG DIDUNIA!